Aliran-aliran Politik Dalam Islam

By | Januari 31, 2021

Pengertian Siasah ialah :

“Memimpin manusia dan memandu mereka”.

Dalam ilmu warisan Islam, ia dianggap di sisi kaca mata para ulama sebagai kepimpinan Islam yang berkaitan dengan keadilan, pembaikan dan reformasi. Itulah kepimpinan yang berlandaskan politik Islam. Di sini kita dapati, kaitan yang kuat antara pengutusan Rasul sebagai pembawa risalah dan sebagai pemimpin kepada dunia untuk membawa keadilan dan pembaikan kepada masyarakat.

Namun, perbahasan tentang politik tidak hanya tertumpu kepada petunjuk daripada risalah dan perkara-perkara thabit (usul dalam agama) sahaja kerana medannya amat luas yang boleh menerima perubahan dan perkembangan dalam perkara-perkara furu’ (cabang agama). Apabila ada sesuatu bahagian dalam skop siasah yang tidak pernah didapati dalam nas-nas wahyu dan sirah Rasulullah maka hendaklah dipandunya dengan baik dan mestilah berkonsepkan keadilan.

Ini kerana keadilan adalah perkara yang usul dan wajib dalam agama, adapun cara dan kaedah pelaksanaan untuk menegakkan keadilan dalam sebuah pentadbiran dan politik merupakan satu keluasan yang dibenarkan oleh ulama untuk dilaksanakan sesuai dengan kehendak syariat agama.

Oleh itu, cara dan kaedah dalam pentadbiran dan politik itulah yang dikemukakan oleh ulama dengan istilah “Siasah Syar’iyah”. Maka sekiranya seorang pemimpin itu melaksanakan tindakan politiknya dalam pentadbiran selari dengan syariat maka itulah kepimpinan yang diajarkan Rasulullah kepada umatnya.

PERBANDINGAN DUA IDEOLOGI YANG MELAMPAU DARIPADA ISLAM

Terdapat dua ideologi pemikiran tentang kaitan antara agama dan politik :

GOLONGAN PERTAMA (SEKULARISMA DAN LIBERALISMA BARAT)

Mereka yang ingkar tentang kaitan antara agama dan politik. Bagi mereka, agama Islam hanyalah agama spiritual semata dan Rasulullah yang diutuskan hanyalah membawa akidah bukan perjuangan untuk menegakkan sebuah pemerintahan dan kerajaan Islam. Mereka tidak mengiktiraf Rasulullah sebagai pemimpin negara dan baginda bukanlah seorang ahli politik yang memandu rakyatnya.

Dahulu, setelah kejatuhan khilafah, kebanyakan negara umat Islam telah diserang dengan satu ideologi iaitu Sekularisma. la adalah fahaman yang mengasingkan antara urusan kehidupan manusia dengan pegangan keagamaan yang mereka anuti. Apatah lagi mereka tidak mengiktiraf bahawa Rasulullah sebagai pengasas kepada sebuah Daulah Islamiah.

Asasnya adalah daripada satu ayat dalam Bible Matius 21-22 yang berbunyi : “Berikanlah hak pemerintahan kepada pemerintah, berikanlah hak Tuhan kepada Tuhan”.

Kata mereka : “Sesungguhnya Muhammad tidak lebih melainkan seorang utusan untuk menyeru kepada agama semata-mata (ritual sahaja) yang tidak menyeru kepada sebuah gagasan pemerintahan dan pentadbiran. Bahawa baginda tidak pernah mengasaskan sebuah kerajaan iaitu tidak pernah memahami konsep berpolitik samada daripada lafaz dan yang sinonim dengannya”.

GOLONGAN KEDUA (GERAKAN ISLAM SYIAH DAN KHAWARIJ)

Agama dan politik adalah merupakan satu perkara yang mempunyai kaitan yang amat kuat. Bagi mereka, politik adalah daripada salah satu rukun asas dan usul dalam agama. Sekiranya dilanggari dan tidak berpegang dengannya maka seseorang itu menjadi kufur.

Khawarij telah keluar daripada Islam disebabkan tidak puas hati atas tindakan Saidina Ali RA. Lalu mereka tidak boleh membezakan antara “hukum Allah yang thabit” dan “pemerintahan dengan maksud memimpin negara” sehingga meletakkan dalam usul mazhab mereka bahawa kepimpinan dan pemerintahan adalah rukun Islam. Tidak ada bahagian untuk makhluk bersuara dan melontarkan idea melainkan semuanya daripada nas-nas wahyu.

Begitu juga Syiah yang menisbahkan imam-imam mereka sebagai maksum (terjaga daripada dosa). Bagi mereka, para imam adalah ruh Allah dimuka dunia yang mengemudi dunia dengan agama. Maka tidak akan sempurna iman dan agama sesorang sekiranya tidak beriman kepada 12 imam mereka. Oleh sebab itulah, ada dikalangan Orientalis Barat yang menyamakan Islam dengan “Rahib dan paderi gereja” yang lebih dikenali dengan pemerintahan Teokrasi yang mucul di era kegelapan Eropah dahulu sebelum kurun-16 Masihi dikalangan Kristian Katolik.

Syiah dan Khawarij sebenarnya telah ditimpa barah “taqlid” apabila menjadikan sumber-sumber agama lain sebagai method pemikiran seperti kerajaan Parsi Kuno (Zoroastrianism) yang ikut membuta tuli kepada sembahan “Ahura Mazda” sebagai Tuhan yang bijaksana terbentuk daripada prinsip dualisme iaitu Tuhan Kejahatan “Ahriman” dan Tuhan Kebaikan “Azdan”.

Mereka juga terkesan dengan empayar Rom dahulu yang menjadikan Zeus sebagai bapa tuhan dan manusia yang memerintah Olympians. Begitu juga terkesan dengan Pope (Ketua Paderi) yang menggelarkannya sebagai “Penghukum”.

KAITAN ANTARA AGAMA DAN NEGARA, RISALAH DAN POLITIK

Islam yang tulen sebagaimana acuan Rasulullah. Baginda mengajar umatnya bahawa dalam urusan pentadbiran dan politik dibenarkan ruang ijtihad dan melalui proses perkembangan mengikut suasana tempat dan zaman.

Baginda pernah bersabda :

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

“Kamu lebih mengetahui tentang perkara keduniaan kamu”.

Inilah ciri manhaj Islam yang tulen iaitu al-Wasatiah (kesederhanaan) tidak melampau dan tidak pula mengabaikannya. Kesederhanaan inilah yang menyeimbangkan antara pelbagai aspek-aspek yang ada dalam islam, begitu juga antara agama dan politik. Maka, sepakat jumhur ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah menyatakan bahawa membentuk sebuah negara bukanlah satu rukun asas daripada rukun-rukun Islam. Walaupun begitu, para ulama bukanlah berpendirian bahawa pembentukan sebuah negara perlu diasingkan daripada agama Islam sebagaimana golongan Sekular.

Tetapi, dalam prinsip agama Islam, pembentukan sebuah negara adalah sebagai sunnatullah sejak pengutusan rasul-rasul terdahulu lagi untuk memimpin ummah dan mengurus keperluan manusia. Ini kerana ia sebagai keperluan dalam satu peradaban dan tamadun untuk menegakkan perkara-perkara usul dalam agama iaitu membasmi kezaliman, menegakkan keadilan, menunaikan kewajipan-kewajipan fardhu dalam agama seperti pelaksanaan hudud, qisas, solat, zakat, menuntut ilmu dan lain-lain.

Firman Allah :

وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ

“Apabila kamu memberi hukuman dikalangan manusia maka hendaklah berhukum dengan adil”. (Surah al-Nisa’:58)

Kita boleh lihat dalam sejarah ketika zaman khalifah pertama Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA, beliau menyatakan prinsipnya untuk memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Ini kerana mengeluarkan zakat merupakan kefardhuan agama maka pemerintah bagi sebuah kerajaan Islam mestilah memungut zakat dan membahagikannya kepada mereka yang berhak agar dapat menunaikan hajat dan keperluan masyarakat yang hidup dalam satu komuniti dibawah pentadbiran Khilafah Islam. Inilah kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Khalifah Abu Bakar RA bagi menyatukan dan mengadili seluruh masyarakat dibawah naungan sebuah Daulah Islamiah (kerajaan Islam).

Sumber: Markaz Kajian Ilmiah & Hasil Penyelidikan – MANHAL BKAN

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.

rawatan bekam