Amalan Meringankan Beban Hutang

By | Mei 30, 2020
beban hutang

Terbeban dengan hutang?

Nah, Nabi ajarkan cara untuk menghilangkan keresahan melalui Hadis Riwayat Abu Daud 4/353:

Abu Said Al-Khudhri RA berkata: “Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid. Tiba-tiba ada seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: ”Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk (di masjid) di luar waktu solat?” Beliau menjawab: ”Aku resah memikirkan hutangku, wahai Rasulullah.” Beliau bertanya: ”Mahukah aku ajarkan kepadamu sebuah doa yang apabila engkau baca maka Allah taala akan menghilangkan keresahanmu dan melunasi hutangmu?” Dia menjawab: ”Sudah tentu ya Rasulullah.”

Beliau bersabda,”Jika engkau berada di waktu pagi mahupun petang, bacalah doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari perasaan resah dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari belenggu hutang dan kekerasan manusia.”

Tak boleh membaca dengan lafaz Arab? Bahasa Melayu pun boleh.. Sungguh Allah itu Maha Mengerti..

Amalan-amalan untuk murah rezeki.

1. Belilah Mushaf Al-Quran dan letakkan di masjid atau sertai program waqaf Al-Quran. Bayangkan berapa pahala yang akan kita dapat daripada setiap huruf.

2. Jika sekembali daripada permusafiran dan kita singgah solat di mana-mana R&R, tinggalkan dan waqafkan telekung atau sejadah yang telah kita gunakan.

3. Letakanlah sedikit makanan kucing dan semangkuk air di luar rumah untuk kucing-kucing yang datang.

4. Ketepikan sedikit dari duit gaji kita untuk diberikan pada mak ayah kita.

5. Sentiasa sediakan duit kecil dalam dompet atau beg tangan kita untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.

6. Sediakan tabung subuh di rumah. Selepas solat subuh ajar anak-anak untuk masukkan rm1 ke dalam tabung subuh. Apabila sudah penuh, sedekahkan duit itu pada masjid. 

7. Tinggalkan semua perbuatan dosa. Setiap kali jika kita terasa kita ada melakukan dosa, masukkan duit ke dalam satu tabung. Bila tabung dah penuh sedekahkan pada orang yang memerlukannya.

8. Apabila kita makan di restoran contohnya restoran mamak, pastikan kita cari mangsa atau target untuk kita belanja makan. Selepas dibayarkan bilnya, kita terus keluar tanpa perlu memberitahu orang yang kita belanja itu.

9. Jika kita dapat rezeki lebih, kita sponsor lah majlis makan-makan di surau atau di pusat tahfiz atau rumah anak yatim.

10. Kalau kita pergi stesen minyak atau pergi bank, kalau kita nampak penjual di kaki lima sedekahkanlah sikit duit 

11. Kalau kita pergi ke restoran untuk makan, apabila ada orang buta atau penjual buku, keropok, kitab atau cenderamata, datang ke meja kita, jangan herdik mereka. Hulurlah sedikit duit kepada mereka, kalau kita tidak mahu membeli apa-apa pun. Ingat, sesiapa saja yang datang ke meja kita, Allah SWT telah gerakkan hati mereka untuk menuju kepada kita agar kita membuat kebaikan.

12. Tanam pokok buah atau apa-apa contohnya daun pandan, daun kari di luar rumah. Kemudian waqafkan dan war-warkan kepada jiran.

13. Kalau ada program waqaf, jangan teragak-agak untuk sertai, samada waqaf untuk pembinaan masjid, surau atau sekolah tahfiz. 

14. Sertai mana-mana agensi yang membuat program waqaf pili atau pam air terutama di Kemboja. Jika tidak mampu, carilah kawan-kawan sekolah, adik-beradik atau jiran untuk sertai sekali.

15. Jika kita hadir dalam majlis ulangtahun atau hari keluarga belilah sekotak air mineral dan niatkan sedekah itu untuk ibu bapa kita atau guru-guru kita.

16. Set dalam handphone kita , tanda peringatan pada waktu-waktu tertentu untuk kita membaca surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas untuk kita hadiahkan kepada kedua ibu bapa kita, samada yang masih hidup atau telah meninggalkan dunia.

17. Sentiasa gembirakan hati orang atau menolong orang dengan kemampuan yang kita ada. Ringankan tangan kita untuk memberi bantuan kepada orang lain.

18. Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi, “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Riwayat Muslim)

19. Lemparkanlah senyuman kepada orang, berilah salam kepada orang dan berbicaralah dengan ucapan yang baik-baik sebab semuanya adalah sedekah.

20. Setiap kali hari ulangtahun kita, buatlah satu kebaikan yang jarang kita buat, contohnya kita cuci bilik air surau atau mengutip sampah di taman permainan perumahan kita.

21. Amalkan Solat sunat Dhuha. Jadikan ia wajib dan rutin seharian kita.

22. Perbanyakkan istighfar. Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya, lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi : “Barangsiapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas)

23. Banyakkan berselawat kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, kesulitan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

24. Menyambung silaturahim. Nabi bersabda: “Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari).

25. Berpagi-pagi. Berpagi-pagi iaitu selepas solat subuh berjemaah, kita meraih keberkatan pagi dengan membaca zikir pagi, ayat 33 dan membaca Al-Quran sama-sama di dalam #DailyQuran.

26. Memperbanyak membaca zikir لا حول ولا قوة الا بالله
Maksud: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
“Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan, ‘La hawla Wala Quwwata Illa billah'” (Riwayat At-Tabrani)

27. Baca Surah Al-Waqi’ah setiap malam. “Barangsiapa membaca Surah Al-Waqi’ah setiap malam maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup.” (Riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman)

28. Banyakkan bersyukur. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Ibrahim, ayat 7, bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

29. Setiap malam, sebelum tidur, kita pastikan yang kita sudah memaafkan semua orang.

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.