Budaya Label-melabel

By | April 29, 2020
budaya melabel

Wan Ji Junot

Label – alat Mandom intelektual

Kalau kita merujuk saheh al-Bukhari, kita dilabelkan sebagai wahabi. Jika kita tidak sokong projek Islam – melayu, kita dilabelkan penganut fahaman liberalisme. Jika kita membantah tindakan penafian hak non muslim dalam mengamalkan agama mereka, kita dilabelkan penganut fahaman pluralisme.

Label merupakan senjata paling ampuh bagi mereka yang tidak ada kemampuan berhujjah. Apabila mereka gagal mengemukakan hujah untuk pertahankan pendapat, sudah pasti kalangan yang berbeza pendapat itu akan mendapat lbel.

Label-label ini dipamerkan dalam wajah negative, agar mereka terus tidak membuka buku, terus tidak berhujah, terus tidak membaca, terus tidak berusaha menjawab hujah dan sebagainya.

Budaya malas mengkaji, malas membaca, malas untuk memerah fikiran untuk menjawab hujah ini membeku dalam jiwa mereka. Semua ini merupakan jalan mudah dengan bersenjatakan label.

Label wahabi diberikan kepada orang yang merujuk saheh al-Bukhari itu amat ganjil. Ini kerana, saheh al-bukhari, bukan sahaja kitab yang dijadikan rujukan oleh mereka yang punyai sikap suka membidaahkan, tetapi dipegang kuat oleh semua aliran sunni, sama ada mereka dari aliran Asyairah atau Maturidiyyah. Lebih-lebih lagi, mereka yang cenderung kepada pendapat Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Bagi aliran sunni, Saheh al-Bukhari amat teguh sebagai kitab rujukan, tetapi ajaibnya orang sunni boleh menuduh orang yang merujuk kitab tersebut sebagai wahabi.

Orang yang tidak setuju dengan konsep Islam – Melayu, jika dituduh sebagai pengamal Liberalisme juga adalah tuduhan yang amat ganjil. Ini kerana, Nabi Muhammad saw tidak pernah memperjuangkan konsep Islam yang diikat dengan bangsa.

Jika mereka sangguh menuduh kalangan yang tidak sealiran dengan konsep Islam – melayu sebagai penganut liberalisme, bermakna secara tidak langsung mereka telah menuduh Nabi Muhammad saw yang membawa Islam luar kerangka bangsa ini sebagai penganut liberalisme. Sudah pasti, dakwaan ini amat tersasar.

Menuduh sebagai penganut Pluralisme terhadap mereka yang mempertahankan hak non Muslim dalam mengamalkan agama mereka juga amat pelik. Ini kerana, dalam hadis dipamerkan bahawa Nabi Muhammad saw amat mempertahankan hak non Muslim. Malahan, Nabi Muhammad saw sendiri pernah nyatakan bahawa Baginda saw akan mempertahankan non Muslim yang dizalimi di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad saw;

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Ketahuilah, barangsiapa menzalimi non Muslim, atau mengurangkan haknya, atau bebankan kepadanya luar kemampuannya, atau mengambil daripadanya sesuatu luar dari cara yang baik bagi dirinya, aku (Nabi Muhammad saw) akan menjadi penghujah untuknya (non muslim itu) pada hari kiamat nanti” (Sunan Abi Daud, بَابٌ فِي تَعْشِيرِ أَهْلِ الذِّمَّةِ إِذَا اخْتَلَفُوا بِالتِّجَارَاتِ, hadis no : 3052)

Dari hadis ini, kelihatan Nabi Muhammad saw mempertahankan hak non Muslim, sehinggakan membebankan mereka luar dari kadar kemampuan mereka juga dilarang oleh Nabi Muhammad saw.

Jika dituduh sebagai penganut pluralism terhadap mereka yang mempertahankan hak non Muslim, sudah pasti dalam keadaan tidak langsung mereka telah mendakwa bahawa tindakan Nabi Muhammad saw itu adalah terkesan dari amalan pluralisme.

Kemungkinan mereka gagal hendak menjawab segala persoalan-persoalan sebegini, menjadikan mereka tidak bersedia berhujah. Cara yang lebih baik, mereka memberikan lebel kepada kalangan yang berbeza. Ia adalah lebih selamat bagi mereka, walaupun kadangkala mereka alpa bahawa tindakan mereka secara tidak langsung telah mencacatkan sudut pandangan manusia terhadap islam.

Wallahu ‘Alam

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.





Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.