Fatwa Tentang Freemason

By | April 17, 2020
freemason logo


Oleh Syeikh Rashid Ridha (1865-1935M)
(Majalah al-Manar Vol 14 (1911) muka surat 179-181)

“Freemason adalah sebuah pertubuhan politik yang wujud di Eropah untuk menghapuskan kuasa diktator dari kalangan ketua-ketua agama dan politik (seperti Pope dan raja-raja). Oleh kerana itu, pergerakannya dirahsiakan. Hal ini kerana ahli pertubuhan ini yang bekerja untuk tujuan yang tersebut itu berada dalam bahaya ancaman pihak diktator yang ditentangnya. Ia berusaha merampas kuasa daripada penguasa diktator dan menyerahkannya kepada rakyat di mana rakyat berkuasa mengadakan undang-undang dan pemantauan ke atas orang yang dilantik bekerja untuk mereka. Pertubuhan ini mempunyai pengaruh besar dalam revolusi-revolusi politik yang berlaku di Eropah, antaranya Revolusi Agung Perancis, Revolusi Othmani dan Revolusi Portugal.

Pengasas dan penggiat pertubuhan ini di Eropah terdiri dari kalangan orang Kristian dan Yahudi. Orang Yahudi adalah ketua dan pemegang jawatan teratas dalam pertubuhan itu. Kerana kezaliman yang ditanggung oleh orang Yahudi dan penindasan yang mereka alami lebih teruk daripada apa yang dialami masyarakat bawahan Kristian akibat tekanan petinggi-petinggi agamawan mereka. Oleh sebab itu, sudah tentu orang Yahudi paling banyak mendapat manfaat daripada revolusi-revolusi yang diusahakan oleh Freemason di Eropah. Hal yang sama akan terjadi di wilayah-wilayah Uthmaniyah jika kekuatan pengaruh Freemason kekal dalam Pertubuhan Kesatuan dan Pembangunan (Jam’iyyah al-Ittihad wa al-Taraqqi / Young Turks) dan krisis negara akan kekal di bawah tangan-tangan pertubuhan itu.

Ada pun peranan Freemason di wilayah sebelah timur seperti Mesir, Syria dan wilayah-wilayah lain; ada kemungkinan benar apa yang dikatakan ramai orang bahawa ia tidak mencampuri urusan politik dan agama, sebaliknya merupakan pertubuhan peradaban dan kebajikan sosial, dan mungkin juga benar pandangan lain yang mengatakan aktiviti-aktiviti Freemason ada hubungan dengan politik dan agama. Setiap pandangan ada hujahnya.

Sebenarnya dua pandangan ini tiada percanggahan. Freemason tidak menyerang mana-mana agama, tidak berbincang untuk menaikkan mana-mana agama ke atas agama lain, tidak menyeru penganut agama meninggalkan agamanya, juga tidak menyeru kepada atheism atau kepercayaan tak bertuhan, bahkan ia sekarang tidak terlibat cubaan mengubah pemerintahan Khidiwi (Khedive, kerajaan Mesir sebelum revolusi menyingkirkan Raja Farouk) dan tidak melawan kerajaan Uthmaniyah di Syria. Inilah yang dikatakan Freemason tidak mencampuri urusan agama dan politik negara.

Manakala pandangan yang mengatakan gerak kerjanya ada hubungan dengan agama dan politik itu sudah diketahui umum, berdasarkan apa yang kami sebutkan tentang tujuan di sebalik ia ditubuhkan sebelum ini. Maka tidak mustahil jika ia tidak berperanan untuk tujuan itu secara langsung, sebaliknya berperanan secara tak langsung sebagai permulaan untuk tujuan itu. Seperti menghimpunkan tokoh-tokoh berpengaruh dari setiap negeri, meramaikan bilangan mereka, memperkuatkan hubungan sesama mereka, melemahkan pegangan keagamaan dan politik dalam kalangan mereka, sehingga akhirnya meyakinkan mereka secara sedikit demi sedikit kepada proses perubahan bentuk kerajaan dan merobohkan pemerintahan hegemoni agama (teokratik) dan peribadi (autokratik atau autoritarian), yang merupakan tujuan terakhirnya, termasuk melalui cara revolusi atau persenjataan.

Maka boleh dikatakan Freemason ini asalnya pergerakan politik. Ia kekal dengan sifat gerakan politik itu di setiap negara yang kerajaannya autokratik atau teokratik, sehingga acuan teokratik keagamaan itu hilang dan terhapusnya kediktatoran raja dan penguasa daripada sistem pemerintahan. Apabila tujuan itu tercapai, pertubuhan itu akan bergerak sebagai pertubuhan peradaban dan kebajikan sosial yang ahli-ahlinya berhimpun untuk memberikan ucapan, syarahan dan berkenal-kenalan dengan tokoh-tokoh dari negeri lain.

Berkaitan aspek persepakatan ahli-ahli daripada berlainan agama untuk tujuan yang sama ini, ia dilaksanakan dengan cara beransur-ansur dan meyakinkan bahawa di sana ada kepentingan bersama di antara mereka. Di antara wasilah yang mereka gunakan ialah surat khabar, iaitu dengan menyiarkan pemikiran dengan pelbagai cara bahawa urusan agama itu letaknya di dalam masjid dan gereja, bukan dalam kerajaan dan hal ehwal keduniaan. Di antara cara lain lagi ialah mendaulatkan faham kebangsaan, iaitu setiap penduduk mendapat hak yang sama dalam kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan. Kerana itu anda akan melihat para agamawan Kristian (seperti Jesuit of Roman Catholic, di Eropah) memerangi pertubuhan ini. Manakala para agamawan Islam seperti para ulama feqah dan tasawuf, sangat sedikit daripada mereka mengetahui hal ehwal dunia luar.” (Dipetik daripada Dr. Sobir Tu’aymah, al-Masuniyyah Dzalika al-‘Alam al-Majhul, Dar al-Jil, Beirut (1986) muka surat 438-440)

Ulasan:

1. Freemason ditubuhkan di Eropah sebagai gerakan yang menyokong sekularisme, iaitu faham pemisahan agama daripada kehidupan masyarakat.

2. Sekularisme muncul di Eropah kesan daripada kediktatoran raja-raja yang disokong oleh agamawan Kristian dengan memanipulasi nas-nas agama. Dengan sebab itu masyarakat Eropah, khususnya ahli falsafah, sains dan matematik membenci agama dan ahli agama. Agamawan Kristian menyokong raja-raja yang zalim dengan nas-nas agama.

3. Orang Yahudi paling aktif menyokong Freemason kerana mereka semua ditindas di seluruh negara Eropah, berbanding penganut Kristian, di mana golongan marhaen bawahan sahaja yang ditindas teruk oleh tuan tanah atau landlord.

4. Selepas berjaya menjatuhkan pemerintahan tirani di sesebuah negara, Freemason akan bergerak sebagai pertubuhan kebajikan. Ramai orang terlibat dengan Freemason untuk tujuan kebajikan ini, melalui kelab-kelab yang ditubuhkan seperti Kelab Rotary, Kelab Lions dan lain-lain.

5. Penglibatan seseorang dalam Freemason tidak boleh terus dituduh sebagai menjadi ejen asing, kerana tiada kesalahan untuk terlibat dengan badan kebajikan yang digerakkan oleh non muslim, sebagai mana non muslim juga boleh terlibat dalam NGO muslim.

6. Tun Datu Mustapha Datu Harun (Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah 1963-65) pernah difitnah menjadi ejen Freemason hanya kerana beliau pernah sekali terlibat menjadi ahli pertubuhan itu pada tahun 1955 dengan jemputan daripada gabenor Inggeris di Sabah, Sir Roland Evelyn Turnbull (gabenor British Borneo Utara 1954-59). Tun Datu Mustapha menulis surat kepada SU Agung Liga Dunia Islam menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan sebarang aktiviti Freemason, sekadar menghadiri atas jemputan gabenor British sahaja. Fitnah itu disebarkan pihak-pihak yang tidak senang dengan kejayaan dakwah yang dilakukan di Sabah di mana lebih 90,000 orang masuk Islam dalam tempoh 6 tahun usaha dijalankan (Dr Dr. Sobir Tu’aymah, al-Masuniyyah Dzalika al-‘Alam al-Majhul, muka surat 445-447).

7. Beberapa keping gambar bersama ahli pertubuhan Freemason juga tidak harus dijadikan bahan bukti penglibatan seseorang itu dalam gerakan rahsia itu. Freemason kebajikan sosial boleh disertai oleh sesiapa sahaja. Sebagaimana gambar seseorang bersama para ulama Syiah tidaklah boleh menjadi bukti orang itu telah menjadi Syiah atau ejen Syiah.

8. Keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri di Malaysia sangat sukar ditembusi dan diubah untuk menjayakan agenda Freemason. Rakyat Malaysia yang lebih bijak akan berusaha untuk memajukan diri dan negara berbanding terlibat dalam momokan negatif yang bersumberkan fitnah.

Terjemahan dan ulasan,
Ustaz Ali Muda (Abu Mishkat)
Salak Tinggi,
17 April 2020

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.