Hukum Basuh Pakaian Guna Mesin Basuh

By | Mei 8, 2020
mesin basuh

IBNU ALI EL AZHARI

Dalam bab Toharah, iaitu HUKUM membasuh baju menggunakan mesin basuh yang mana baju yang bercampur dengan pakaian mutanajjis, atau pakaian yang terpercik najis Hukmi (Najis yang tidak nampak dan yakin terkena najis), perlulah diulangi basuhan itu melalui BILAS dengan Air LALU di akhir pembasuhan. Ini kerana, air yang kurang daripada dua kolah berada di dalam mesin basuh menjadi air MUTANNAJIS dan dibawa solat. Maka hukumnya tidak SAH solat tersebut kerana pakaian masih menanggung najis. Pendapat ini adalah lebih Ihtiyat dan keluar daripada khilaf.

Hukum ini adalah hukum yang baru selepas mesin basuh dicipta. maka para ulama mentafsirkan cara basuhan mengikut tahap kesucian dengan teliti dari segala sudut Toharah.

Sebelum mesin basuh dicipta, umat islam membasuh baju disungai, atau menjirus daripada bekas air dan paip, maka air sudah mengalir dan tidak terikat dengan mutannajis kerana tidak direndam.

Satu pandangan, yang hakikatnya pakaian yg dibasuh dengan menggunakan mesin basuh, sama ada bernajis ataupun tidak, adalah suci. Ini kerana mesin basuh mengalirkan air dgn fungsi wash, rinse dan spin. Bukannya menakungkan air. Manakala bilasannya dilakukan secara berulang kali. Maka persoalan perpindahan najis ke pakaian lain tidak timbul. Ia juga menggunakan detergen yg menurut Syafi’iyah adalah illat (sebab) kepada cucinya kotoran. Walaupun demikian, najis Aini (jelas / boleh dilihat) hendaklah dibuang terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam mesin basuh.

ISU SYUBHAH MEMBASUH BAJU YANG TERKENA NAJIS

Syubhat ini kembali kepada masalah air yang kurang dua kolah jika bercampur najis adakah airnya bertukar najis atau tidak. Majoriti ulama berpendapat bahawa airnya akan jadi najis. Hujah mereka hadis Nabi, “Jika airnya dua kolah ia tidak akan menjadi najis” (Sahih. Abu Daud). Ertinya jika ia sedikit (kurang dua kolah) air itu akan bertukar najis jika najis terkena padanya.

Dalam konteks membasuh dengan mesin basuh, sebahagian berpandangan bahawa memandangkan airnya kurang dua kolah, maka ia tidak akan dapat menyucikan pakaian yang terkena najis kerana air itu juga turut telah berubah menjadi najis. Air najis jelas tidak menyucikan. Itu pandangan sebahagian ilmuan berdasarkan pandangan majoriti para ulama tentang air kurang dua kolah.

Walau bagaimanapun, ada juga ulamak yg menggunakan sandaran dengan sebuah hadis lain iaitu,

الماء طهور لا ينجسه شيء

“Air adalah suci ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa” (Sahih. Imam Ahmad).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berpendirian bahawa najis yang bercampur dengan air yang sedikit (kurang dua kolah) tanpa menukar salah satu daripada tiga sifat air itu iaitu warna, bau atau rasanya, maka air tersebut akan kekal suci.

Kembali kepada masalah membasuh dengan mesin basuh, hakikatnya persoalan air sedikit (kurang dua kolah) tidak timbul memandangkan proses mencurah air atas pakaian dilakukan secara berulang kali sehingga kesan najis hilang.

Bagi yang berpegang pendapat ini soal mesin basuh automatik atau separa automatik tidak timbul. Jika kesan najis sudah hilang, maka bersihlah pakaian tersebut.

PERSOALAN KONGSI MESIN BASUH LAYAN DIRI DENGAN NON MUSLIM

Sekarang banyak kedai dobi layan diri yang pastinya digunakan oleh semua org tidak kira apa agama sekalipun dan tidak mustahil mereka yg bukan beragama islam telah memasukkan pakaian mereka yg terdapat najis berat ke dalam mesin dobi tersebut..

Persoalannya, apakah haram kita menggunakan mesin dobi tersebut ?

Hukum asal sesuatu adalah suci. Ia kekal suci selagi mana tidak ada bukti menunjukkan ia mutanajjis/bernajis. Maka mesin basuh ini, ia kekal suci kecuali terdapat bukti jelas menunjukkan ia tidak suci.

Andaian atau syak bahawa Non Muslim menyentuh anjing, babi dsb, Ia tidak mengubah status asal sesuatu tersebut iaitu suci.

Disebutkan dalam sebuah kaedah fiqh:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

“Asalnya adalah kekal sesuatu itu berada dalam keadaan asalnya.”

Justeru, sesiapa yang yakin tentang kesucian sesuatu serta ragu-ragu tentang najisnya. Maka ia dihukumkan sebagai suci kerana berpegang dengan sesuatu yang meyakinkan, iaitu suci dan begitulah sebaliknya.

Hal ini berdasarkan kaedah;

الْيَقِينُ لا َيزالُ بِالشَّكِّ

“Keyakinan tidak dihilangkan dengan sebab syak.”

Sehubungan itu, sesuatu yang tidak diyakini najisnya. Namun, pada kebiasaannya ada najis. Maka ia dihukumkan sebagai suci kerana mengikut asalnya yang suci menurut pendapat yang lebih sahih (asoh).

Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa harus menggunakan mesin basuh tersebut selagimana ia tidak diyakini terkena apa-apa najis yang tidak dimaafkan.

Syeikh Abdullah bin Umar al-‘Alawi al-Hadhrami telah menyatakan sebuah kaedah penting yang sepatutnya diperhatikan dalam permasalahan najis ini kerana banyak cabang permasalahan dan manfaatnya, iaitu: “Setiap ain (zat) yang tidak diyakini najisnya. Namun, kebiasaannya ia bernajis pada jenisnya.

Menurut pendapat yang lebih rajih (kuat) daripada dua pendapat mengenainya, diamalkan dengan asalnya iaitu suci. Bahkan, makruh mengguna pakai setiap apa yang diihtimalkan (ditanggungkan) ada najis dalam waktu yang terdekatnya…”.Kredit ; Ust Alyasak

KESIMPULAN

1. Menggunakan mesin basuh adalah kemudahan yang diizinkan oleh syarak. Penggunaan mesin basuh yang tidak mengalir airnya, sama ada manual atau automatik, maka dicadangkan agar dibasuhkan pakaian itu terlebih dahulu kemudian dicuci menggunakan mesin basuh.

Manakala jika mesin tersebut boleh dialirkan airnya, sama ada manual atau automatik, dibilas berkali-kali sehingga hilang bau, warna dan rasa najis itu, maka sucilah pakaian tersebut.

2. Asas pendapat Shafi’iyyah bagi membasuh sesuatu yang mutanajjis hendaklah Pertama ; Hilangkan ain najis. Kedua ; Datangkan air mutlak pada tempat yang kena najis secara menyuluruh. Apabila air itu berpisah dengan yang dibasuh dan yang dibasuh itu hilang sifat-sifat najis daripadanya iaitu bau, warna dan rasa dan air itu tidak berubah dan tidak bertambah maka yang dibasuh itu suci dan airnya juga suci.

Jika yang dibasuh itu masih ada bau atau warna, salah satu daripada kedua-duanya, bukan kedua-duanya kerana sukar untuk meghilangkannya adalah dimaafkan.

3. Al Hanafiyyah iaitu ulama-ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa air yang bercampur dengan sabun sekalipun air itu berubah satu daripada sifat-sifatnya boleh digunakan bersuci dengannya.

Kata Hasan bin Ammar al-Shurunbulali:

وإنما صح إلحاق المائعات المزيلة بالماء المطلق لتطهير النجاسة الحقيقية : لوجود شرط الإلحاق وهي : تناهي أجزاء النجاسة بخروجها مع الغسلات

Dengan ini hukum membasuh pakaian yang kena najis dengan air sabun menurut al-Hanafiyyah adalah lebih mudah berbanding dengan al-Safi`iyyah, kerana air sabun itu sendiri boleh menyucikan.

4. Najis hukmi ; ialah najis yang diyakini ada najis itu, tetapi najis itu sudah tidak dapat dirasa, tiada warna dan bau. Bagi menyucikan najis hukmi memadai dengan sampai air kepada tempat yang kena najis dan air itu mengalir, lebih dari setakat merenjis. .

Najis aini ; iaitu ada benda bagi najis itu, seperti terdapat tahi yang jelas dan dapat dilihat. Kaedah menyucikan najis aini ialah : Pertama, hilangkan ain iaitu benda najis itu. Kedua, hilangkan rasa najis itu, sekalipun sukar. Ketiga, hilangkan warna dan bau jika mudah dihilangkan. Jika sukar dihilangkan, tidak mengapa ada salah satu daripada kedua-duanya

5. Menjaga kesucian pakaian adalah antara perkara besar yang dituntut agama. Untuk beribadah, pakaian mestilah suci daripada sebagai kotoran dan najis.

Dalam permasalahan fiqh, isu sebegini perlu ditangani sebaiknya. Memang benar kita perlu menjaga kebersihan dan kesucian pakaian, tapi tidaklah sampai perlu mengasingkan antara pengguna Islam dan bukan Islam. Ini kerana perkongsian mesin basuh tidak membawa apa-apa masalah dari segi suci atau tidak. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan umatnya.

6. Mazhab Maliki. Air yg tidak cukup dua kolah terkena najis dan tidak berubah ia bukan air mutanajjis, suci dan menyucikan. Oleh itu jika air basuhan akhir warnanya putih, tiada bau dan tidak bernajis….
maka pakaian tersebut adalah suci.

7. Perkhidmatan yang menawarkan kepada pelanggan Islam sahaja atau dasar mesra pelanggan islam tidaklah bertentangan dengan Islam cuma pada masa sama tidak sesuai diamalkan dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya. Islam mengajar umat untuk bertoleransi dan menghormati agama dan bangsa lain.

Fatwa Ulama kontemporari:

– Syeikh Atiyah Saqr
– Syeikh Said Ramadhan Al-Buti

– al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf 

Berkenaan mencuci pakaian yang bernajis dengan menggunakan mesin basuh otomatik pada hakikatnya ia tidak menimbulkan masalah dalam proses menyucikan pakaian yang bernajis. Perkara ini disebut oleh al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangan beliau “Taqrirat Sadidah”:


ومن ذلك مسألة إلقاء الملابس في الغسالات الحديثة فإن كانت الغسالة من النوع الألي (الأتوماتيكي) فلا ضرر بالإتفاق لأنها تقوم بإزالة النجاسة ثم بإمرار ماء طهور على الملابس وأما إن كانت من النوع العادي فبعد الغسيل وإزالة الأوصاف تكون النجاسة حكمية فلا بد بعد ذلك من إمرار ماء طهور على الملابس وذلك ما يسمى بمرحلة التصفية أو التطهير ولا بد أن يكون الماء واردا في هذه المرحلة بأن توضع الملابس أولا ثم يصب فوقها الماء

Maksudnya: “Dari masalah itu, mencampakkan pakaian kedalam mesin basuh moden, jika mesin basuh itu dalam ketogari berteknologi tinggi(otomatik) maka tiada mudarat menurut persepakatan ulama. Ini kerana ia menghilangkan najis (pada pakaian) kemudian dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan pada pakaian itu. Manakala jika mesin itu dari jenis biasa (bukan otomatik), maka selepas basuh dan menghilangkan sifat-sifat(najis), maka najis (pada pakaian) diketogarikan najis hukmi(yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar). Oleh itu mesti dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan selepas itu pada pakaian, ini dinamakan sebagai peringkat penyucian di mana air mestilah bersifat mendatangi pada peringkat ini dengan meletakkan pakaian terlebih dahulu kemudian dicurah air ke atasnya”.

Tidak dinafikan bahawa air dicurahkan di atas pakaian, namun selepas itu air yang berada di dalam mesin akan bertakung. Meskipun air itu bertakung di dalam mesin, ia tidak semestinya mutanajjis (bernajis), ini disebabkan jika air tersebut bila berpisah dari pakaian dan masih tidak berubah sifatnya(tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya(disebabkan najis) maka air itu dikira sebagai masih suci. Dengan ini air yang masih bertakung bersama-bersama pakaian itu tidak dikira menajiskan pakaian yang direndam selagimana air itu tidak berubah sifat kerana najis. Fakta ini banyak disebut di dalam kitab-kitab fiqh Shafi’ie antaranya ‘I’anah al-Tolibin’:


وحاصله أنه إذا ورد الماء على المحل النجس ولم ينفصل عنه فهو طاهر مطهر. فإن انفصل عنه، ولم يتغير ولم يزد وزنه بعد اعتبار ما يأخذه المحل، وطهر المحل، فهو طاهر غير مطهر.


Maksudnya: “Kesimpulannya jika air mendatangi pada tempat bernajis dan ia belum terpisah darinya maka hukum air itu suci dan menyucikan. Jika air terpisah darinya dan tidak berubah sifatnya(bau, warna atau rasa) dan ia tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempatnya dan tempat itu menjadi suci, maka air itu kekal suci tetapi tidak menyucikan”.

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.