Hukum Berbezanya Harga Tunai dan Bertangguh

By | April 30, 2021

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Assalamualaikum ustaz, Nak tanya kalau kita jual kain dengan harga RM 60 sepasang, jika bayar 2 kali (bertangguh) harganya adalah RM 70 sepasang, jadinya RM 10 tu jatuh riba kan.. ?

Tapi kalau beli kain sepasang RM60, jika beli dua pasang harga dengan sedikit diskaun iaitu RM 100..jadi RM 20 tu jatuh hukum apa pulak?

JAWAPAN:

Untuk soalan pertama : Ia harus dan bukan riba
Untuk soalan kedua : ia juga harus dan ia termasuk dari jenis ibra’ (rebate) oleh penjual. Sememang menjadi hak penjual untuk memberikan diskaun pada masa yang dikehendakinya.

Perincian untuk soalan pertama adalah seperti berikut :-

Sebenarnya masih terdapat sedikit perbezaan pendapat dalam hal ini, sangat minoriti mengatakannya haram manakala MAJORITI ulama silam termasuk keempat-empat mazhab utama dan ulama kontemporari berpandangan berbezanya harga tunai dan bertangguh adalah HALAL DAN HARUS dengan syarat pembeli sudah memilih salah satu cara pembayaran sewaktu persetujuan ijab qabul dilakukan.

Disebut oleh ulama Hanafi :

الثمن قد يزاد لمكان الأجل

Erti : Harga berkemungkinan dinaikan disebabkan penangguhan (bayarannya).

Ulama mazhab Maliki pula berkata :

جَعل للزمان مقدار من الثمن

Erti : Penangguhan kerana untuk tempoh masa mempunyai nilai kadar nilai di dalam harga.

Kenyataan dari ulama mazhab al-Syafie :

الخمسة نقداً تساوي ستة نسيئة

Ertinya : Lima jika dibayar secara tunai, bersamaan dengan enam jika dibayar secara tangguh.

Manakala disebut oleh ulama mazhab Hanbali :

الأجل يأخذ قسطاً من الثمن

Erti : Tempoh boleh mengambil sebahagian dari harga

Antara dalil paling mudah untuk menyokong pendapat ini adalah keharusan jualan secara as-Salam.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَهُمْ يُسْلِفُونَ بِالتَّمْرِ السَّنَتَيْنِ وَالثَّلَاثَ فَقَالَ : مَنْ أَسْلَفَ فِي شَيْءٍ فَفِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ .

Ertinya : Nabi s.a.w sampai ke Madinah dan peneduduk Madinah membeli (menempah) tangguh tamar yang hanya akan diserahkan dalam tempoh dua tahun dan tiga. Lalu Nabi s.a.w bersabda : Barangsiapa yang ingin membeli secara tangguh (serahan barang iaitu belian as-Salam) hendaklah ia dilakukan atas barang yang diketahui, timbangan yang diketahui dan tempoh yang diketahui”(Riwayat Al-Bukhari, no 2086)

Jualan secara As-Salam harus secara nas dan ijma’, manakala para ulama menyatakan dari hikmah keharusannya adalah :-

a. Pembeli dapat mendapat manfaat dengan harga yang lebih murah disebabkan pembayaran buat secara penuh dan tunai di awal kontrak,
b. Penjual pula menikmati bayaran segera maka lebih mudah mengusahakan barang yang dibeli.

Disebutkan oleh Ibn Qudamah :-

وهذا دليل على أن للأجل في البيع نصيباً من الثمن. وأن هذا لا بأس به في البيوع

Erti : Inilah dail bahawa tempoh waktu dalam jual beli mempunyai bahagian dalam harga, ia tidak mengapa kerana ia didasari oleh aqad jual beli.

Kesimpulannya, dalam kes bayaran atau serahan bertangguh atau ansuran, ia menyebabkan wujud tempoh masa yang perlu ditunggu oleh salah satu pihak serta risiko yang terdedah ke atasnya, perbezaan harga ini dianggap sebagai halal dengan syarat ia telah dipersetujui di awal aqad dan tidak lagi berubah selepas itu.

Kenaikan harga akibat tempoh ini dianggap halal oleh majoriti mazhab dan ulama. Inilah bentuk ‘time value of money’ yang diiktiraf sebagai halal oleh Islam kerana ia didasari oleh jual beli sebenar dan bukannya aqad qardh iaitu pinjaman atau hutang.

Sheikh Taqi Uthmani membidas mereka yang menyamakan perbezaan penentuan harga ini sama seperti riba dengan kata beliau :-

This argument is again based on the minsconception that whenever price is increased taking the time of payment into consideration, the transaction comes within the ambit of interest. This presumption is not correct. Any excess amount charged against late payment is riba only where the subject matter is money on both sides. But if a commodity is sold in exchange of money, the seller when fixing the price may take into consideration different factors, including the time of payment…time of payment may act as an ancillary factor to determine the price of a commodity.

Erti : pertikaian ini sekali lagi disebabkan oleh salah faham bahawa setiap kenaikan harga disebabkan oleh masa akan jatuh dalam kategori Riba. Keismpulan ini adalah silap. Setiap kenaikan yang disebabkan kelewatan bayaran hanya akan menjadi riba apabila kedua-dua belah pihak berurusan adalah wang, tetapi jika komoditi atau aset dijual berbalas wang, penjual mempunyai kebebasan untuk menentukan harganya dan dibenarkan juga mengambil kira pelbagai faktor termasuk masa pembayaran…masa pembayaran boleh dijadikan faktor penentu bagi ketetapan harga komoditi”

Sekian

rawatan bekam