Makhraj Huruf

مخارج الحروف

MAKHRAJ HURUF

al hira

 

1. Bibir bawah ditekan ke gigi kacip atas. keluar daripadanya huruf: ف
Cara untuk memastikan sebutan yang betul bagi huruf ini ialah dengan cara menemukan permukaan bibir bawah dengan hujung gigi kacip (gigi hadapan) sebelah atas.

2. Merapatkan dua bibir. Keluar daripadanya huruf: م و ب
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara menemukan dua bibir sebelah atas dan bawah. Bagi huruf  م  dua bibir ditemukan secara ringan dan huruf  ب  pula bibir ditemukan secara kuat. Cara untuk memastikan sebutan huruf و yang betul pula ialah dengan cara memuncungkan kedua-dua bibir dengan mengadakan sedikit ruang di antara pemuncungan itu.

3. Hujung lidah ditekan ke gigi kacip atas. Keluar daripadanya huruf: ظ  ذ  ث
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara membawa hujung lidah keluar sedikit kemudian ditemukan dengan hujung gigi hadapan sebelah atas. Huruf  ظ  adalah huruf tebal kerana itulah pangkal lidah ditekan ke langit-langit semasa menyebutnya.

4. Hujung lidah ditekan ke pangkal gigi kacip atas. Keluar daripadanya huruf:  ط د  ت
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan hujung lidah ke pangkal (tempat tumbuh) gigi hadapan sebelah atas. Bagi huruf  ط  pangkal lidah juga ditekan ke langit-langit untuk menghasilkan suara tebal bagi huruf tersebut.

5. Hujung lidah diletakkan ke gigi bawah. Keluar daripadanya huruf: ز س ص
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara mendatarkan lidah kemudian diletakkan hujung lidah di belakang gigi hadapan sebelah bawah. Bagi huruf ص pangkal lidah juga ditekan ke langit-langit untuk menghasilkan suara tebal bagi huruf tersebut.

6. Hujung lidah ditekan ke gusi hadapan. Keluar daripadanya huruf: ن
Cara untuk memastikan sebutan huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan hujung lidah ke gusi hadapan sebelah atas.

7. Belakang hujung lidah ditekan ke gusi hadapan. Keluar daripadanya huruf: ر
Cara untuk memastikan sebutan huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan kawasan belakang hujung lidah ke gusi hadapan sebelah atas dengan melengkungkannya sedikit.

8. Tepi hujung lidah ditekan ke gusi hadapan. Keluar daripadanya huruf: ل
Cara untuk memastikan sebutan huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan sisi bahagian hadapan lidah ke gusi hadapan sebelah atas samada kiri atau kanan.

9. Tepi lidah ditekan ke sepanjang geraham atas. Keluar daripadanya huruf:  ض
Cara untuk memastikan sebutan huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan salah satu sisi lidah samada kiri atau kanan ke sepanjang gigi geraham atas.

10. Tengah lidah ditekan ke langit-langit. Keluar daripadanya huruf: ج ش ي
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara mengangkat tengah lidah dan menekannya ke langit-langit.

11. Pangkal lidah ditekan ke langit-langit. Keluar daripadanya huruf: ك
Cara untuk memastikan sebutan huruf ini yang betul ialah dengan cara mengangkat pangkal lidah dan menekannya ke langit-langit.

12. Pangkal lidah ditekan ke anak tekak. Keluar daripadanya huruf: ق
Cara untuk memastikan sebutan huruf ini yang betul ialah dengan cara mengangkat pangkal lidah dan menekannya ke langit-langit sebelah belakang iaitu berhampiran anak tekak.

13. Ditekan suara pada permulaan kerongkong. Keluar daripadanya huruf: خ غ
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan suara ke permukaan kerongkong iaitu di bahagian yang hampir ke pangkal lidah dan anak tekak.

14. Ditekan suara pada pertengahan kerongkong. Keluar daripadanya huruf: ع ح
Cara untuk memastikan sebutan huruf–huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan suara ke tengah kerongkong, dimana dinding kerongkong disempitkan yang merupakan tempat laluan suara akan disempitkan.

15. Ditekan suara hujung kerongkong. Keluar daripadanya huruf: ء ه
Cara untuk memastikan sebutan huruf-huruf ini yang betul ialah dengan cara menekan suara ke hujung kerongkong, iaitu pada kawasan permukaan pita suara (akar lidah), yang terletak di dalam halkum.

16. Ditekan suara ke pangkal hidung. Keluar daripadanya dengung iaitu nun dan mim sukun: نْ  مْ
Cara untuk memastikan suara dengung yang lahir dari sebutan nun dan mim sukun itu ialah dengan cara menekan suara ke pangkal hidung dengan menolak udara ke bahagian dalam hidung.

17. Dilepaskan suara ke rongga kosong. Keluar daripadanya suara tiga huruf mad iaitu alif sebelumnya fathah, wau sebelumnya dhommah dan ya sebelumnya kasrah:   يْ ــِـ , وْ ــُـ  , ا ــَـ 

Cara untuk memastikan suara huruf-huruf mad ialah dengan melepaskan suara ke rongga (ruang kosong) di dalam kerongkong dan mulut semasa melafazkan apa-apa huruf sebelum huruf mad yang tidak berbaris.

 

Shares 11

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.