Memahami Proses Istinbat Hukum Syarak

By | Mei 4, 2020
hadis hukum

Oleh : Ustaz Dr. Hapiz Mahaiyadin

Hadis Sahih Adalah Sumber Hukum Syarak Namun Ada Penditilannya.

Semua ulama daripada pelbagai mazhab samada yang masih ada atau telah pupus, meyakini bahawa sunnah/hadis sebagai sumber hukum selepas al-Quran. Tidak ada siapa pun yang menolak hadis sahih yang penunjuk (dilalah) maknanya (madlul) yang qat’i, terang dan tiada hadis lain dalam masalah yang sama. Apatah lagi jika ia hadis bertaraf mutawatir.

Khilaf mereka tentang syarat penerimaan beramal dengan hadis seperti syarat hadis aahad, hadis mursal dan hadis dhaif BUKAN menunjukkan mereka anti hadis sahih seterusnya menolak kehujahan hadis. Salah faham ini menjadi asas para orientalis menyatakan hadis bukan sumber hukum yang autentik. Bukan orientalis saja keliru, penuntut ilmu yang mengabaikan ilmu usul fiqh juga celaru apabila menganggap banyak fatwa mazhab fiqh menyalahi ‘hadis sahih’. Justeru itu, Mereka menolak khazanah fiqh yang amat bernilai atas alasan mengikut fatwa lain yang ‘menepati’ hadis sahih dan sunnah Nabi SAW.

Di sini, saya membangkitkan beberapa persoalan yang dibahaskan oleh usuliyyin dan fuqaha seperti yang berikut :

i. Sejak bila para fuqaha tidak beramal dengan sunnah dan hadis sahih? Yang berkata demikian, adakah bertaraf mujtahid atau baru pandai bezakan antara dalil dgn hukum?

ii. Hadis sahih yang dimaksudkan itu, menurut syarat siapa? Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Bayhaqi, Ibn Hajar, al-Albani, Syu’aib al-Arnaut atau Mahmud Said Mamduh?? Apakah syarat-syarat penerimaan sesebuah hadis sebagai sahih? Adakah semua ulama hadis bersepakat dalam penerimaan sesebuah hadis?

iii. Jika maksud hadis sahih itu hanya khusus kepada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, sejak bilakah para usuliyyin dan fuqaha mensyaratkan hanya Sahihayn saja perlu dirujuk? Kaedah istidalal dengan hadis hanya berpada dengan kesahihan hadis sahaja tanpa mengutamakan hadis al-Bukhari atau Muslim. Keutamaan sahihayn hanya salah satu daripada berpuluh-puluh metod tarjih nas dalam kes pertembungan dalil. Ia bukanlah kaedah utama.

iv. Abu Hanifah, Malik bin Anas, Muhammad al-Syafi’i dan Ahmad Bin Hanbal merupakan muhaddis yang lebih berkelayakan mentakhrij, mentashih dan mentadh’if hadis sebelum kedatangan Bukhari, Muslim dan para ashab sunan. Imam Abu Hanifah adalah salah seorang yang meriwayatkan hadis لا نكاح الا بولي tetapi beliau menfatwakan kaum wanita boleh mewalikan diri sendiri dalam perkahwinannya. Siapa menuduh beliau tidak menemui hadis itu adalah salah. Kerana, hadis tersebut memang diketahui olehnya. Namun beliau beramal dengan madlul syarak yang lebih muktamad (pada ijtihadnya) iaitu syarak mengakui wanita mempunyai kelayakan (ahliyah) memeterai kontrak (uqud). Pada pandangan beliau, akad nikah juga sejenis kontrak yang mempunyai ijab qabul.

v. Penentuan hadis sahih dan dhaif yang berasal daripada hadis aahad (bukan MUTAWATIR) dalam kajian hukum, sangat relatif mengikut result analisis tashih/tadh’if pengkaji hadis. Realiti yang berlaku, kebanyakan hadis adalah hadis aahad. Justeru bagi golongan pakar, mereka perlu mengikut hasil takhrijnya. Bagi golongan awam pula, mereka hanya mengikut (taklid) hasil takhrij sarjana/muhaddis yang menjadi guru mereka. Bagi yang kagum dengan takhrij hadis oleh Sheikh al-Albani, mereka akan bertaklid kepada hadis yang dihukum sahih ataupun dhaif oleh beliau. Manhaj takhrij al-Albani berbeza dengan ramai lagi pengkaji hadis lain. Oleh itu, sesiapa yang tidak beramal dengan manhaj al-Albani, tidak bermakna ia menolak hadis sahih.

*Hukum yang sorih daripada petunjuk hadis mutawatir adalah qat’iy

vi. Adakah takhrij hadis oleh pengkaji hadis kurun 13-14 Hijrah bersifat qat’i sehingga haram menyanggahinya?. Tidak ada hasil takhrij yang boleh dianggap sebagai qat’i dan mutlak. Semua hasil takhrij hanyalah zanni kerana ia juga suatu ijtihad kecuali hadis riwayat Bukhari dan Muslim (berdasarkan persetujuan majoriti pengkaji hadis). Kajian mengenai profil perawi yang telah mati ribuan tahun dahulu amat rumit kerana pengkaji hari ini bergantung sepenuhnya kepada takhrij ahli hadis silam. Sedangkan sesama ahli hadis tidak bersepakat mengenai status setiap perawi. Ini membuktikan hasil takhrij juga boleh diambil atau ditolak seperti mana fatwa fiqh yang ‘tidak maksum’.

vii. Adakah ahli hadis silam sama seperti ahli hadis tahun 2018 ini yang tidak beriltizam dengan mazhab fiqh?. Jika kita rujuk Siyar A’lam al-Nubala’, Tabaqat al-Muhaddithin, Tahzib al-Asma’ dan kitab biografi ahli hadis lain, kita akan dapati semuanya bermazhab. Majoriti ahli hadis bermazhab Syafi’i. Kata Sheikh Mahmud Said Mamduh, dahulu apabila disebut ahli hadis, mereka adalah Syafi’iyyah. Ini diakui sendiri oleh al-Dahlawi dalam al-Insaf seolah-olah menjadi satu prasyarat bagi sesiapa yang ingin menguasai hadis, perlu masuk melalui pintu mazhab Syafi’i.

viii. Siapakah ahli hadis yang anda ikuti? Ahli hadis zaman sekarang ini ada banyak aliran. Antara yang banyak menguasai medium internet, portal atas talian ialah yang beraliran salafiyyah-Saudiyyah dan Wahhabiyyah. Ada lagi ahli hadis yang kurang menonjol seperti Darul Ulum Deoband, Mazahirul Ulum Syahranfur, Ahlil Bait dan lain-lain. Mengkritik aliran anda, bukan bermakna menolak hadis. Jika tidak boleh dikritik, ia sudah menjadi fanatik.

ix. Adakah kita hanya berlapang dada terhadap ikhtilaf mazhab fiqh sahaja, bukan aliran ahli hadis?. Validiti fatwa dalam kitab fiqh muktabar yang disaring oleh ratusan fuqaha bersama muhaddisin mazhab masing-masing jauh lebih akurat dan memiliki tahap kebolehyakinan tinggi berbanding ijtihad pengkaji hadis yang kontroversi seperti Sheikh al-Albani dan lain-lain yang diikuti oleh minoriti seperti pengikut Salafiyyah-Wahhabiyyah..

Banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu difahami dengan baik dalam wacana hukum syarak mengikut disiplinnya yang teratur.

Huraian lanjut boleh diikuti dalam buku MEMAHAMI PROSES ISTINBAT HUKUM SYARAK EDISI KEMASKINI ..

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.