Pegang al-Quran Tanpa Wudu’

By | Julai 22, 2020

pegang alquran

Wan Ji Wan Hussin

Tidak salah memegang mashaf al-Quran dalam keadaan tidak berwudu’ mengikut pendapat Abu Hanifah. Namun mengikut pendapat kebanyakkan ulama, bahawa memegang mashaf itu hendaklah dalam keadaan berwudu’.

Hujah majoriti ulama adalah berpegang dengan firman Allah dari surah Al-Wāqi`ah ayat 79 – “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci”

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Ayat ini menyatakan bahawa al-Quran tidak disentuh kecuali orang-orang yang disucikan. Dengan maksud, orang yang memegang al-Quran hendaklah berwuduk.

Ulama yang mengharuskan memegang al-Quran tanpa wudu’ pula menyatakan bahawa ayat ini tidak merujuk kepada manusia, kerana maksud al-Quran dalam ayat ini tidak merujuk kepada mashaf al-Quran, tetapi merujuk kepada al-Quran yang diturunkan dari sisi Allah kepada Luh Mahfuz pada malam Lailatul Qadar. Sudah pasti, maksud dengan mutahharun (melayu : yang disucikan) dalam ayat merujuk kepada malaikat yang suci dari hawa nafsu.

Pihak yang melarang menyentuh al-Quran bagi orang yang tidak berwudu’ pula berhujah dengan hadis riwayat imam Abu Daud dalam marasil beliau bahawa Nabi saw ada bersabda yang bermaksud, “tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali tahir (melayu : orang yang bersih)”.

لا يمس القرآن إلا طاهر

Hujah berasaskan hadis ini dijawab dengan menyatakan bahawa hadis tiada kaitan larangan memegang mashaf tanpa wudu’ kerana ia berkait dengan peperangan; Nabi saw melarang sahabat membawa al-Quran dalam peperangan kerana bimbang ia dirampas oleh musuh lalu dijadikan sebagai alat untuk memprovokasi muslim dalam peperangan.

Dan lagi, hadis ini tidak merujuk kepada larangan memegang mashaf tanpa wudu’ kerana maksud tahir (melayu : orang yang bersih), tidak merujuk kepada orang yang berjunub, kerana terdapat satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah (ada riwayat lain kata, Huzaifah bin al-Yaman) bahawa dia telah berselisih jalan dengan Nabi saw ketika itu dia sedang berjunub. Dia mengelak dari berjumpa dan pergi mandi junub. Selesai mandi, dia pun datang berjumpa dengan Rasulullah saw. Nabi saw bertanya kepadanya, kenapa dia mengelak dari berjumpa dengan baginda saw? Dia menjawab bahawa ketika itu dia belum mandi junub lagi.

Mendengar itu, Nabi saw terus bersabda yang bermaksud, “maha suci Allah, sesungguhnya orang mukmin itu tidak bernajis”.

Dari hadis ini menandakan bahawa maksud tahir (melayu : orang yang bersih) dalam hadis bukan merujuk kepada orang yang tidak berwuduk kerana dinyatakan bahawa kalau seseorang mukmin itu tidak mandi junub itu, dia tetap dikira sebagai bersih lagi. Tetapi maksud tahir dalam hadis ini adalah merujuk kepada orang musyrik, kerana firman Allah dari surah At-Tawbah ayat 28 “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis”.

Majoriti ulama menyatakan bahawa najis dalam ayat ini tidak merujuk kepada Najis pada jasad, tetapi merujuk kepada najis pada aqidah.

Dan lagi, hadis ini juga tidak menunjukkan larangan mutlak orang musyrik dari memegang al-Quran, tetapi larangan ia bersifat sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu-pintu larangan kerana merujuk kepada sebab warid hadis yang menceritakan larangan itu dalam kondisi perang yang bimbang ia digunakan musuh sebagai alat provokasi.

Dari perbahasan ini, jelas bahawa memegang mashaf bagi orang yang tidak berwudu’ adalah perkara khilaf di kalangan fuqaha’.

Dalam keadaan begitu, memegang mashaf dalam keadaan berlapik, sama ada berwudu atau tidak berwudu, ia adalah harus mengikut kesepakatan ulama fiqh. Berlapik itu, sama ada dengan kain atau dengan apa jua alat sekalipun.

Walaubagaimana pun, para ulama mencadangkan agar memegang mashaf al-Quran itu disertai dengan adab. Dengan maksud, jika memakai pendapat mazhab Hanafi sekali pun, tetapi digalakkan sangat tetap memegang mashaf dalam keadaan berwudu’.

Rujukan :
1. Al-Syaikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Buhus wa Fatawa Islamiyyah fi Qadaya Muasirah, Dar al-Hadis, Kaherah, tarikh : 2005 – 1426, jld 1, hlmn 142 – 144.

2. Al-Syaikh Abdul Halim Mahmood, Fatawa al-Imam Abd al-Halim Mahmood, Dar al-Maarif, Kaherah, tarikh : 1979, jld 1, hlmn 152.

wallahu alam

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.