Perbezaan Antara Agama dan Beragama

By | April 25, 2020
agama

Wan Ji Junot

Ada dua perbezaan yang perlu manusia faham;

A. Din – Agama.
B. Tadayyun – keber-agama-an atau cara manusia beragama.

Perkara ini dibahas panjang oleh ramai ulama sunni dan syiah. Kalau ulama salafi tak jumpa, tak bermakna tak ada. Mereka kena gali turath banyak-banyak. Kalau tak jumpa, mereka kena Talaqqi dengan ulama – ulama Al-Azhar yang turun temurun menjaga turath.

Cara manusia beragama tidak semestinya tepat dengan kehendak agama. Kehendak agama yang sebenar, Tuhan yang maha mutlak tahu. Kita cuba mencari maksud dan kehendak agama itu. Ada yang kita faham, dan ada yang kita samar-samar faham. Ada yang kita tidak faham di suatu masa, tetapi difahami di masa yang lain.

Isu sunni, salafi, Asya’irah, wahabi, syiah, Khawarij, Muktazilah dll; semua itu adalah isu tadayyun, bukan Din.

Tadayyun melibatkan kepada penafsiran terhadap agama. Apabila disebut tafsiran, ia bukan absolute. Apabila disebut tafsiran, ia terikat kepada kemungkinan benar atau kemungkinan salah.

Kebenaran mutlak hanya berada di tangan Tuhan. Manusia yang mempunyai seribu satu kelemahan akan mencari kebenaran mutlak tersebut.

Kelemahan akal dalam memahami kebenaran, menjadikan manusia menafsirkan kebenaran mutlak itu. Kelemahan emparikal manusia, menjadikan manusia menafsirkan kebenaran mutlak itu. Dalam bahasa falsafah, disebut iktibari.

Orang salafi juga sebenarnya menafsirkan teks sepertimana orang batini. Cuma, tafsiran teks mereka itu bersifat literal. Semua mereka (salafi dan batini) menafsirkan teks, kerana mereka mahu memahami kebenaran mutlak tersebut.

Ini adalah tadayyun, bukan Din. Salafi itu tadayyun, batini juga tadayyun. Setiap mereka punyai metode dan manhaj masing-masing.

Kenapa perlu kepada manhaj? Sebab, ia isu tadayyun, bukan Din.

Kalau Din, pemahaman terhadap kebenaran tidak perlu kepada manhaj dan metode lagi, sepertimana Nabi tak perlu kepada metode dan manhaj dalam memahami kebenaran.

Isunya adalah kita. Kita nak kenal Nabi pun, pakai manhaj dan metode. Inikan pula nak memahami Al-Quran yang punyai bahasa sastera yang maha tinggi.

Tasawwuf dengan beberapa peringkat – Syariat, tarikat dan makrifat atau hakikat, semua ini adalah proses penafsiran dalam memahami teks Islam melalui “rasa”.

Semua ini adalah tadayyun, bukan Din.

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.