Sedekah Bacaan al-Quran Untuk Si Mati

Wan Ji Wan Hussin

Ulama sepakat menyatakan bahawa keizinan sedekah amalan infaq, tunai haji, berpuasa dan istighfar untuk si mati. Ini kerana, semua perkara ini terdapat dalam hadis.

Walaubagaimana pun, ulama berselisih pendapat dalam hukum menyedekahkan bacaan al-Quran kepada si mati. Perselisihan tersebut adalah kepada dua aliran, iaitu aliran yang membenarkannya, terdiri dari Imam ahmad bin hanbal, imam Tahawi, Imam Nawawi, Ibn Quddamah dan Ibn Taimiyyah. Dan satu laigi aliran yang melarang, terdiri dari Saleh Fauzan, pendapat yang masyhur di kalangan ulama mazhab syafie dan sebilangan besar ulama dari saudi.

Pihak yang melarang itu berpegang dengan firman Allah dari surah An-Najm:39 – Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”

Menurut Saleh Fauzan, asal sedekahkan pahala kepada si mati tidak sampai berdasar ayat ini kecuali jika ada nas yang menyatakan sampai, seperti haji, puasa, istighfar dan infaq.

Pendapat aliran yang menyatakan keizinan pula berhujah berdasar kepada beberapa hadis. Antaranya, hadis saheh riwayat imam bukhari dan muslim bahawa seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Nabi saw dan bertanya, jika dia nak sedekahkan hartanya untuk ibunya, apakah itu mendapat pahala?

Lalu Nabi Saw menjawab, “Ya”.

Dalam hadis yang lain pula, iaitu yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasaie, dari Saad bin Ubadah bahawa ibunya telah meninggal dunia. Dia berkata kepada Nabi saw, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu aku telah meninggal dunia, apakah boleh aku sedekahkan harta untuknya?”

Dijawab Nabi, “Ya”.

Dia bertanya lagi, “Sedekah apakah yang lebih afdhal?”

Jawab Nabi Muhammad saw, “memberi minum”.

Dalam hadis yang lain pula, iaitu seorang perempuan datang kepada Nabi saw dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bapaku terlalu tua, menjadikan dia tidak dapat tunaikan kefarduan haji ekoran dia tidak mampu menaiki kenderaan. Apakah boleh aku hajikan untuk dirinya?”

Nabi saw bertanya balik kepadanya, “Apa pandangan kamu jika bapa kamu ada hutang, apakah wajib dia tunaikan?”

Dia menjawab, “Ya”

Lalu dijawab nabi saw, “Hutang Allah lebih berhak ditunaikan”.

Dalam hadis yang lain pula, al-Bukhari dan muslim ada meriwayatkan bahawa Nabi saw ada berkata, “Barangsiapa mati dan keadaannya tidak berpuasa, maka walinya puasakan untuk dirinya”.

Dari segala hadis-hadis yang dikemukakan ini, dinyatakan oleh Ibn Quddamah dalam kitab al-Mughni, “pada hadis-hadis yang saheh, padanya adalah dalil bahawa si mati dapat manfaat dengan segala amalan yang menghampirkan diri kepada Allah, kerana puasa, haji, doa, istighfar adalah ibadat badaniyyah yang Allah hubungkan manfaatnya kepada si mati”.

Ibn Taimiyyah juga ada mengomentari hal ini dalam kitab majmuk al-Fatawa dengan katanya, “Perselisihan tentang sampai amalan badaniyyah seperti puasa, solat dan baca al-Quran. pendapat yang benar bahawa semua itu boleh sampai pahala kepadanya (si mati), iaitu sampai pahalanya kepada si mati”.

Dalam keadaan begitu, tidak semestinya imam ibn Taimiyyah mengizinkan membaca al-Quran di kuburan, namun tanpa dinafikan bahawa di sana terdapat sebilangan lain menyatakan keizinan membaca al-Quran di kuburan.

Antara yang menyatakan keizinan adalah seorang ulama mazhab Hanafi, iaitu Ibn Abidin menerusi kitab al-Dur al-Mukhtar dengan katanya, “Bagi mereka yang masuk ke kawasan perkuburan, lalu membaca surah yasin, Allah akan ringankan kepada mereka ketika itu juga”

Pendapat yang mengizinkan itu kerana merujuk kepada beberapa hadis, antaranya hadis riwayat Muslim, daripada Buraidah menyatakan bahawa Nabi saw mengajar kepada sahabat, apabila mereka ke perkuburan, bahawa mereka digalakan berkata, “Selamat sejahtera kepada kamu; Wahai penghuni ini dari kalangan mukminin dan muslimin, dan kami Insya Allah akan bersama dengan kamu”.

Begitu juga merujuk kepada perbuatan Nabi saw yang setiap kali menanam jenazah, selepas itu akan menyatakan, “Doakan keampunan dosa untuk saudara kamu dan doakan bagi ada kekuatan kerana sekarang dia sedang di soal”.

Pada mereka, apabila ada keizinan mendoakan kepada si mati di kubur, sudah pasti membaca al-Quran di kuburan juga dibenarkan kerana kandungan al-Quran melebihi kandungan doa.

Namun begitu, jika amalan membaca al-Quran di kuburan itu boleh menghasilkan kesyirikan, seperti menyembah kubur, meratap ketika membaca al-Quran, makanya ia wajar dihalang atas asas kaedah sad al-Zaraie.

Hal ini merujuk kepada tindakan Nabi saw yang melarang sahabat ziarah kubur di awal Islam ekoran implikasi buruk berlaku di kala itu, walaupun ia diakui baik untuk ziarahi itu ekoran boleh ingat kepada mati.

Sabda Nabi saw, “Dahulu aku pernah halang kamu ziarahi kubur, tetapi ziarahilah kerana ia boleh ingat kepada mati”.

Dari kupasan ini, jelas bahawa perkara ini adalah perkara khilaf yang berlaku di kalangan ulama-ulama besar yang muktabar. Kekhilafan ini tidak wajar dijadikan sebagai punca permusuhan, malahan boleh ditoleransikan antara satu dengan yang lain.

Wallahu alam



rawatan bekam







Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.