Siapa Sebenarnya Digelar Ulama?

By | April 19, 2020
ilmuwan islam

Wan Ji Junot

Dari sudut bahasa, kalimah ulama memberi maksud orang yang punyai pengetahuan secara mendalam. Seseorang yang pakar bidang ekonomi, tidak salah dipanggil sebagai ulama ekonomi; ahli astronomi boleh dipanggil ulama astronomi; ahli falsafah, dipanggil sebagai ulama falsafah dan begitu seterusnya.

Namun, dari sudut pandang al-Quran, kalimah ulama merujuk kepada mereka yang melihat kebesaran Allah di langit, di bumi dan pada segala tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang sehingga lahir perasaan takut kepada Allah. Firman Allah, “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun” (Surah Fatir, ayat 27 – 28)

Imam Fakr al-Din al-Razi menukilkan perkataan al-Rabi’ bin Anas. Beliau menyatakan, “Orang yang tidak takut kepada Allah, maka dia bukan ulama” . Beliau menukilkan juga bahawa Sa’ad bin Ibrahim ditanya dengan soalan, “Siapa orang yang paling faqih di Madinah?”. Sa’ad menjawab, “Kalangan Orang Madinah yang paling takut kepada Tuhannya” .

Dari penjelasan al-Quran bahawa ulama, bukan sekadar punyai pengetahuan, sebaliknya ulama adalah kalangan yang punyai pengetahuan yang menjadikan mereka takut kepada Allah.

Salah faham sering terjadi, apabila ulama ditonjolkan sebagai orang yang punyai ilmu agama yang banyak, tanpa dikaitkan dengan takut kepada Allah.

Jika pengetahuan ilmu al-Quran dan al-Hadis sahaja sudah cukup digelar sebagai ulama, sudah pasti sebilangan orang bukan Islam juga boleh digelar sebagai ulama, iaitu apabila kalangan orang bukan islam itu punyai kefahaman mendalam berkenaan al-Quran dan al-Hadis juga dikira sebagai ulama juga.

Malahan, tidak mustahil Iblis juga boleh digelar sebagai ulama. Ini kerana, Imam al-Syaukani pernah menukilkan perkataan Ibn Abbas yang menyatakan bahawa sebelum Iblis melakukan maksiat (tidak sujud hormat kepada Adam setelah diperintahkan oleh Allah), Iblis adalah kalangan makhluk yang tinggal di bumi dan paling banyak punyai ilmu dan paling banyak berijtihad berbanding para Malaikat .

Nabi Muhammad saw itu ditonjolkan dalam al-Quran sebagai pembawa rahmat. Dalam hadis pula, ditonjolkan Nabi Muhammad saw punyai akhlak yang mulia. Nabi Muhammad saw, tidak sekadar mewarisi ilmu, malahan mewarisi sifat merendah diri, akhlak mulia, tidak takabbur, mengaku kesilapan dan sebagainya.

Dalam al-Quran, dipamerkan kisah Nabi Muhammad saw pernah mengharamkan pada diri baginda perkara yang telah Allah halalkan. Ia merupakan kesilapan, menjadikan Nabi Muhammad saw ditegur oleh Allah dengan turun ayat pertama dari surah al-Tahrim. Nabi Muhammad saw akur dengan teguran Allah swt itu. Keadaan yang iras sama dengan teguran Allah terhadap Nabi Muhammad saw ketika bermasam muka dan berpaling dari seorang sahabat buta, Abdullah bin Ummi al-Maktum. Teguran Allah itu diakui oleh Nabi Muhammad saw sehingga baginda saw berkata kepada Abdullah bin Ummi al-Maktum, “Selamat datang terhadap orang yang menjadikan Tuhan memarahiku” .

Dalam saheh al-Bukhari ditonjolkan Nabi Muhammad saw sedang menyampaikan satu ucapan. Ketika sedang berucap, seorang badwi telah menyampuk dengan bertanyakan soalan berkenaan dengan kiamat. Walaupun tindakan badwi itu seperti mengganggu fokus Nabi Muhammad saw, tetapi selepas selesai menyampaikan ucapan, Baginda saw menjawab soalan badwi tersebut dengan baik .

Nabi Muhammad saw juga punyai sifat merendah diri. Diceritakan dalam saheh al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang sahabat ansar telah menampar seorang lelaki yahudi yang melebihkan Nabi Musa. Lelaki yahudi itu memaklumkan kepada Nabi Muhammad saw tentang perbuatan lelaki ansar tersebut, menjadikan Nabi Muhammad saw kelihatan marah. Kemudian, nabi Muhammad saw berkata, “jangan kamu lebihkan antara para Nabi” .

Jelas, sifat merendah diri merupakan sifat Nabi Muhammad saw yang wajar dicontohi oleh orang-orang berilmu. Jika contoh ini diambil, orang berilmu itu digelar sebagai ulama menurut maksud al-Quran. Namun, jika mereka punyai ilmu yang banyak, tetapi tidak punyai sifat merendah diri, malahan angkuh dan takabbur, ilmu yang banyak itu tidak ada beza mereka dengan iblis. Ini kerana, Iblis bukan sekadar dipamerkan sebagai punyai ilmu yang banyak, malahan Allah SWT pamerkan dalam al-Quran bahawa Iblis punyai sifat takabbur dan ingkar, sehinggakan Allah menentukannya sebagai ahli neraka.

Wallahu ‘Alam.

Author: admin

Salam sejahtera, saya Fadzil Amri lulusan ijazah syariah dari Darul Uloom Zakariyya, South Africa. Kini berkecimpung dalam menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid dan juga Fardu ain bagi orang dewasa. Berpengalaman mengajar hampir 10 tahun, ramai telah keluar dari kepompong buta huruf tidak tahu membaca hingga dapat membaca Al-Quran dengan baik.. Alhamdulillah.